STRATEGI MENGHADAPI
PEPERIKSAAN DENGAN CEMERLANG
ISI KANDUNGAN
Pendahuluan
Persediaan Fizikal
Persediaan Mental
Persediaan Emosi
Persediaan Rohani
Pelbagai Persoalan
Belajar Untuk Peperiksaan
PENDAHULUAN
Peperiksaan penting seperti UPSR, PMR, SPM
dan STPM memerlukan persedian lebih daripada sekadar membaca semata-mata.Tanpa
persediaan yang rapi maka ramai pelajar yang mendapat keputusan yang tidak
setimpal dengan usahanya. Anda tidak
perlu takut dengan peperiksaan. Sebab
sama ada anda bersedia atau tidak, masa untuk berhadapan dengannya tetap akan
tiba. Oleh itu lebih baik anda fokuskan kepada persediaan anda untuk
berjuang. Untuk cemerlang dalam
peperiksaan pelajar perlu bersedia dari segala aspek, bukan setakat membaca dan
mengulangkaji semata-mata. Persediaan
yang rapi memupuk keyakinan yang tinggi untuk pelajar menghadapi peperiksaan
mereka.
Artikel yang ditulis ini tidak mengajar
subjek-subjek yang tertentu. Pelajar
perlu merujuk kepada guru kelas masing-masing tentang keTEPATan dalam menjawab
setiap soalan. Artikel di Laman-MAP ini
bertujuan untuk memberikan gambaran yang jelas tentang persediaan-persedian
seperti fizikal, mental, emosi dan ruhani.
Harapan saya, ia akan membolehkan pelajar melangkah ke dewan peperiksaan
dengan mengatakan ........ "AKU BOLEH BERJAYA". Melangkah dengan fikiran yang positif.
PERSEDIAAN
FIZIKAL KESIHATAN
Sebagai pelajar anda memerlukan kesihatan
yang baik bermula dari ketika membuat persedian mengulangkaji hinggalah ke
dewan peperiksaan. Keadaan kesihatan yang buruk akan mengganggu persediaan diri
untuk peperiksaan. Sekiranya masih
banyak yang anda perlu ulangkaji, maka pastinya anda rasa bimbang. Gangguan
kesihatan pasti tidak mengizinkan anda mengulangkaji dan ini akan membawa
kepada tekanan emosi. Pastikan anda menjaga perkara yang berikut:
Tidur
yang cukup.
Tidur yang cukup ialah diantara 6 - 7 jam
sehari. Kurang tidur menyebabkan anda rasa mengantuk, letih dan boleh jatuh
sakit. Tidur yang berlebihan juga tidak
baik untuk kesihatan. Jadi pastikan anda latih diri anda dengan masa tidur yang
optimum ini dari sekarang.
Jaga
pemakanan.
Allah s.w.t telah berfirman yang mafhumnya
"Makanlah dari makanan yang baik yang telah Kami berikan" (Al-Baqarah
: 57). Yang dimaksudkan sebagai yang
baik disini ialah baik dari segi sumbernya (halal), kualitinya (zat), rasanya
(enak dan lazat) dan bersih (tidak membawa penyakit dan kemudaratan). Kepada
ibu bapa pastikan anak-anak anda diberi makan makanan dari sumber yang halal.
Makanan yang haram akan menghitamkan dan menggelapkan hati mereka.
Riadah.
Jangan beriadah sehingga meletihkan badan.
Ramai pelajar yang bermain hingga penat dan akibatnya anda akan rasa mengantuk
untuk mengulangkaji pelajaran. Anda hanya perlu beriadah selama 20 minit dan
sebanyak tiga kali seminggu. Lakukanlah
senaman ringan yang mengeluarkan sedikit peluh. Disaat-saat akhir sebegini,
lupakanlah soal bolasepak, takraw, badminton dan sebagainya. Anda boleh
tangguhkan semua aktiviti yanganda minati ini setelah tamat peperiksaan penting
nanti.
KESELAMATAN
Anda perlu menjaga keselamatan diri anda
sebaiknya. Jauhkan diri anda dari aktiviti lasak yang boleh membawa kepada
kecelakaan. Elakkan diri dari sebarang
kecederaan. Anda past tidak mahu
mengambil peperiksaan sewaktu berad dalam wad di hospital. Memanglah kecelakaan tidak pernah diundang,
tetapi kalau anda tidak berhati-hati anda sebenarnya mendedahkan diri kepada
pelbagai kemungkinan. Dalam musimmenjelangnya peperiksaan, lebihkan masa anda
untuk berada dirumah.
PERSEDIAAN
MENTAL
Pelbagai
Gambaran Negatif
Kerapkali masalah yang dihadapi oleh
pelajar apabila hampir dengan peperiksaan ialah takutkan kegagalan. Walau pun
anda telah berusaha bersungguh-sungguh namun perasaan takutkan kegagalan ini
sering mengganggu fikiran. Antara keadaan yang menekan diri pelajar ialah:
Menyerah
kalah sebelum berjuang
Ini disebabkan kerana mereka rasakan yang
mereka tidak punya harapan lagi. Mereka
rasakan buat apa belajar kalau dah tahu hasilnya nanti ialah kegagalan. Mereka
percaya yang mereka akan gagal dalam peperiksaan berdasarkan kepada keputusan
peperiksaan atau ujian-ujian sebelum ini.
Mereka
Merasa
belum bersedia
Keadaan yang kedua pula berlaku kepada
mereka yang sememangnya belajar. Mereka
rasakan yang diri belum cukup bersedia.
Mereka sentiasa fikirkan apa akan berlaku kalau segala usaha ini
sia-sia? Apa akan terjadi kalau apa yang dibaca kelak lupa? Betapa malunya nanti kalau kawan-kawan yang
kurang berusaha mendapat keputusan yang jauh lebih baik? Semua ini bermain difikiran.
Harapan
ibu bapa yang terlalu tinggi
Tidak ada ibu bapa yang tidak mengharapkan
kejayaan anak-anak. Ada ketikanya pula
ibu bapa berulangkali menyatakan harapan mereka kepada anak-anak tanpa
memikirkan kemampuan sebenar diri anak.
Harapan yang terlalu tinggi ini ada ketikanya menjadi beban kepada
anak-anak hinggakan mengganggu fikiran mereka.
Kepada ibu bapa, saya sarankan agar dorong anak-anak berusaha gigih dan
melakukan yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing. Nyatakan dengan jelas bahawa apa yang anda
mahukan ialah anak-anak melakukan yang terbaik dan sungguh-sungguh. Anda redha walau apa sekalipun keputusannya
kelak. Ini akan mengurangkan tekanan
atas diri anak-anak.
Berfikiran
Positif
Bagi mengatasi segala tekanan mental
seperti di atas anda perlulah berfikiran positif. Fokuskan mental anda kepada apa yang perlu
anda lakukan dan apa pula hasil yang anda harapkan. Tidak perlu anda bimbang apa keputusan yang
bakal diperolehi tetapi anda perlu bimbang kalau-kalau anda tidak menggunakan
sisa-sisa masa yang masih ada untuk berusaha sepenuhnya.
Sekiranya anda memikirkan kegagalan maka
anda hanya tergambar pelbagai rintangan dan halangan. Ini akan melemahkan semangat anda. Ia juga membuatkan anda meragu kebolehan diri
anda.
Dalam berusaha anda mesti berpegang kepada
kata-kata seperti:
"Sedikit pencapaian itu lebih baik
dari tiada pencapaian langsung".
"Something is better than
nothing"
Lakukan "Latihan Minda" setiap
hari.
"If you can't see it, you can't have
it".
Kata-kata di atas menunjukkan bahawa untuk
mencapai sesuatu kejayaan itu maka gambaran kejayaan mestilah terlebih dahulu
wujud dalam pemikiran. Sebelum anda
mampu mendapat 8A dalam PMR, maka 8A itu mesti terlebih dahulu ada dalam
pemikiran. Ia ibarat menghasilkan sebuah
lukisan, anda tidak akan melakar sesuatu yang anda tidak gambarkan. Lakaran anda berasaskan kepada apa yang anda
nampak dalam mata minda. Begitulah juga dengan kehidupan ini. Anda tidak akan menhasilkan sesuatu yang
anda tidak gambarkan. Oleh itu,
gambarkanlah kejayaan dan anda pasti akan terdorong untuk merealisasikan apa
yang digambarkan itu. Makin jelas
gambaran yang ada, makin tinggilah kesungguhan anda untuk merealisasikannya.
Untuk membantu anda menggambar dengan
baik, anda perlu membuat latihan minda seperti dibawah.
1. Duduk
dikerusi anda dengan selesa. Tangan diletakkan diatas peha. Badan tidak
bersandar. Tenangkan fikiran dan kendurkan setiap otot, sendi, uratsaraf dan
pejamkan mata anda.
2. Tarik
nafas beberapa kali dalam-dalam. Tarik melalui hidung dan hembuskan melalui
mulut. Ketika nafas ditarik, gambarkan
yang anda menyedut keyakinan diri. Ketika nafas dibuang, gambarkan yang anda
membuang segala ketakutan dan kebimbangan.
3. Saya
percaya anda pernah capai kejayaan sebelum ini, sama ada kecil atau besar. Saya
mahu anda kembali kepada peristiwa kejayaan itu. Kejayaan itu mungkin berkaitan dengan
pelajaran, sukan, debat dan sebagainya. Pilih satu yang paling bermakna kepada
anda. Dimana iaberlaku? Apa yang berlaku? Apa yang anda dapat lihat? Suara apa yang
anda dengar? Kalau ada tepukan, dengar tepukan gemuruh ketika itu. Kalau ada puji-pujian dengarkan duara siapa
yang memuji itu. Gambarkannya secara jelas mengikut kemampuan anda. Dengar suara yang ada dengan jelas. Rasakan
apa perasaan anda ketika itu. Rasakan keseronokan anda pernah dipuji. Rasakan kebanggaan anda sebagai orang yang
berjaya ketika itu. Hadirkan perasaan itu kembali.
4. Apabila
perasaan yakin dan bangga mula memuncak, cubit sedikit kedua-dua peha anda
dengan tangan. Biar terasa sedikit
sakit. Buka mata anda, dan pejam
kembali. Ulang langkah 2 - 4 beberapa
kali.
5. Kini
pejamkan mata, gambarkan anda melangkah masuk ke dewan peperiksaan. Gambarkan anda duduk dikerusi dan diatas meja
tersedia kertas soalan. Rasakan
ketenangan dalam dewan. Gambarkan kini
anda membelek-belek kertas soalan dan anda dapati semua apa yang anda baca
keluar. Rasakan kegembiraan itu. Gambarkan bagaimana anda menjawab setiap
soalan satu persatu dengan penuh keyakinan.
Ide keluar mencurah-curah.
Gambarkan 8A dalam PMR (Gred 1 untuk SPM). Ketika ini sekali lagi cubit kedua-dua peha
anda seperti yang telah anda lakukan dalam langkah 4 tadi.
6. Buka
mata anda, ulangi langkah 5 beberapa kali.
7. Buatkan
latihan minda ini 10 - 15 minit setiap hari.
Sekiranya anda lakukan latihan ini sungguh-sungguh setiap hari, anda
dapat mengawal perasaan takut anda ketika berada didewan peperiksaan dengan
menarik nafas dan mencubit kedua-dua peha.
Kejayaan latihan minda di atas banyak
bergantung kepada kesungguhan anda melatih diri, kekerapan latihan dan tumpuan
anda.
PERSEDIAAN
EMOSI
Dalam saat-saat menghadapi peperiksaan,
anda perlu mengelak diri dari sebarang bentuk gangguan emosi. Perkara-perkara
yang berikut perlu dielakkan:
·
Pertengkaran
dengan rakan-rakan;
·
Melakukan
perkara yang membuatkan ibu bapa marah;
·
Cinta
monyet yang mungkin kecundang disaat-saat peperiksaan;
·
Bersikap
terlalu yakin - "overconfident";
·
Berprasangka
buruk terhadap orang lain;
Ramai pelajar bertindakbalas secara
spontan terhadap sesuatu yang berlaku terhadap mereka. Tindakbalas spontan ini menjadi tabiat
semulajadi mereka. Apa perasaan anda
kalau raka membohongi anda? Anda mungkin
serta-merta menjadi marah. Apa berlaku
kalau rakan memulau dan mengejek anda?
Anda mungkin rasa tersinggung dan kecil hati. Kalaulah begini tindakbalas spontan anda, apa akan berlaku
dengan persediaan peperiksaan anda? Anda
pasti tidak mampu memberikan tumpuan untuk mengulangkaji. Ada ketikanya luka dihati berkekalan
berhari-hari.
Kenapa tidak selepas ini kawal emosi
anda. Jangan izinkan sesiapa melukai
hati anda. Mereka boleh berkata apa
sahaja, mereka boleh berbohong dan sebagainya.
Mereka ada suara, biarkanlah mereka.
Anda cuma pekakkan telinga.
Banyakkan bersikap sabar.
Teruskan sahaja kerja anda. Kekalkan
matlamat peperiksaan anda. Apabila anda
berjaya satu hari nanti, rakan-rakan akan mula menghormati anda.
Sebenarnya peristiwa tidak mencetuskan sebarang
emosi. Tanggapan atau paradigma andalah yang mencetuskan emosi. Kita boleh melihat setiap perkara yang
berlaku terhadap diri kita dari dua perspektif, iaitu positif atau negatif. Mulai hari ini ambillah dari sudut yang
positif. Ingatlah setiap apa yang
berlaku adalah ujian Allah dan ada hikmah sekiranya anda bersabar. Dengan cara
ini anda mampu membenteng emosi anda.
PERSEDIAAN
ROHANI
Selain dari persediaan fizikal, mental dan
emosi, persediaan rohani juga perlu. Anda
perlu faham kedudukan kita sebagai hamba hanyalah mampu melakukan usaha sebaik
mungkin tetapi hasil sebenarnya Allah
lah yang menentukannya.
Ketenangan jiwa dan fikiran sangat perlu disaat-saat menghadapi
peperiksaan, oleh itu lakukanlah sesuatu untuk meraih ketenangan ini.
Antara perkara yang boleh anda lakukan ialah:
1. Sentiasa bermunajat kepada Allah.
Lakukan solat hajat dan pohon agar Allah campakkan ketenangan dan
terangkan hati dalam menghadapi peperiksaan. Minta pada Allah agar apa yang dipelajari
keluar dalam peperiksaan.
2. Minta restu kedua ibu bapa. Doa ibu bapa untuk anakny sangat
makbul. Jadi mintalah restu dari keduanya. Mintalah mereka mendoakan kejayaan
anda.
3. Banyakkan berzikir dan membaca al-Quran. Hati yang banyak berzikir akan memperolehi
ketenangan. Hati juga lebih terang apabila anda sering membaca
al-quran. Allah telah berfirman dalam surah ar-Ra'ad, ayat 36, yang mafhumnya
"Sesungguhnya dengan mengingat Allah akan menjadi tenanglah semua
hati".
4. Jauhi maksiat. Jauhi diri anda dari perbuatan maksiat dan dosa
besar. Mereka yang bergelumang dengan
maksiat mempunyai jiwa yang resah. Hidup juga tidak diberkati Allah.
5. Banyakkan berdoa. Pastikan anda berdoa mengikut adab-adab berdoa.
MENGATASI
PELBAGAI SOALAN DAN KEBIMBANGAN
Saya
tidak tahu dimana patut bermula.
Jangan panik. Senaraikan semua perkara
yang perlu anda lakukan. Agih-agihkan tugasan anda kepada bahagian yang lebih
kecil dan mudah dilaksanakan. Tentukan keutamaan tugasan, yang utama
didahulukan. Rancang masa untuk
menyelesaikan setiap tugasan ini sebaik-baiknya. Jangan sesekali ponteng kelas
ketika hampir dengan peperiksaan. Anda mungkin
tertinggal ulangkaji dan tip-tip penting yang dibincangkan oleh
guru atau pensyarah. Gunakan masa-masa
rehat yang ada untuk mengimbas kembali apa yang telah dipelajari. Berikan masa
bukan sahaja untuk belajar tetapi juga untuk merancang strategi pembelajaran
anda. Jangan terburu-buru, mulakan
belajar anda dengan topik yang senang dahulu. Mulakan 30 minit – 1 jam dahulu.
Semakin lama, terutamanya apabila semakin hampir dengan peperiksaan, tingkatkan
waktu belajar anda.
Terlalu
banyak untuk dibaca sedangkan peperiksaan semakin hampir.
Buat tinjauan. Berikan masa untuk anda
membuat tinjauan keseluruhan topik. Kenalpasti topik-topik penting. Fahami
konsep-konsep penting. Pastikan topik yang anda maih belum faham.
Mulakan belajar topik yang penting-penting dahulu. Mana-mana topik yang kurang
penting, dan tidak sempat diulangkaji sepenuhnya, fokus hanya kepada fakta-fakta
utama. Tetapi ingat, tinjauan hanya boleh membantu sekiranya anda benar-benar
sudah tidak punya masa. Kalau anda masih sempat
membacanya, maka bacalah dengan terperinci.
Subjek
ini cukup membosankan. Anda rasa jemu dan mengantuk apabila membacanya.
Belajar secara aktif bukannya pasif. Gunakan kaedah membaca yang berkesan. Dapatkan soalan-soalan berkaitan dengan
topik yang dipelajari sebelum memulakan
ulangkaji. Pelbagaikan aktiviti ketika belajar.
Selang-selikan diantara aktiviti membaca dengan menulis nota, melakar
peta minda (atau peta konsep), menghafal, menggaris kata kunci dan menjawab
soalan-soalan. Libatkan diri anda sebanyak mungkin dengan apa yang sedang dibaca. Tukarkan apa yang dibaca kepada
gambaran minda. Belajar bersama rakan yang lebih arif tentang subjek tersebut
dan bincangkan.
Anda
baca dan anda faham, tetapi anda tidak mampu mengingatinya.
Cuba kaitkan apa yang sedang anda pelajari
dengan apa yang telah aanda ketahui.
Gunakan beberapa pendekatan untuk
mengingat seperti:
Hafal kata kunci, bukannya hafal ayat.
Gunakan Teknik Ceraian.
Gunakan Teknik Mnemonik.
Tuliskan fakta-fakta penting pada kad dan
bawanya bersama anda kemana sahaja.
Kerapkan buat imbasan terhadap kad-kad ini.
Anda
rasa anda faham apa yang dibaca. Anda
rasa anda telah mengingatinya.
Jangan cepat merasa puas hati dengan apa
yang anda usahakan. Uji ingatan dan
pengetahuan anda. Jawab soalan-soalan
dari buku atau dari peperiksaan tahun-tahun sebelumnya. Bina
soalan-soalan berdasarkan tujuh soalan asas iaitu Apa? Siapa? Bila?
Dimana? Berapa? Kenapa? Bagaimana?
Misalnya, kalau anda sedang membaca sejarah Melaka diserang Portugis,
tanyakan soalan-soalan seperti:
Bila Melaka diserang?
Kenapa Melaka diserang?
Siapa yang menyerang?
Bagaimana Melaka diserang?
Terlalu
banyak untuk dihafal dan diingat.
Penyusunan maklumat. Maklumat dan fakta-fakta dapat dikeluarkan
dengan lebih baik sekiranya ia dibaca, dihafal dan disimpan dalam bentuk yang
sistematik. Terdapat pelbagai pendekatan
yang boleh anda guna untuk menyusun maklumat atau fakta ini, antaranya ialah:
Tuliskan rangka setiap bab yang dibaca
atau ringkasan tentangnya. Perhatikan perkaitan antara satu bahagian dengan
bahagian yang lain dalam tajuk tersebut. Cuba kumpulkan maklumat kepada
beberapa kategori berdasarkan persamaan yang ada. Cuba bahagikan kepada hieraki
(sekiranya ini boleh dilakukan).
Pemetaan maklumat. Cuba lakarkan peta konsep bagi menyusun bahan-bahan yang ada perkaitan. Misalnya kalau anda sedang membaca sejarah
tentang perang dunia kedua, anda mungkin boleh buatkan satu carta tentang semua negara yang terlibat. Kemudian senarai isu penting atau peristiwa penting disebelah carta
tersebut. Anda mungkin kaitkan kembali
isu/perkara penting ini dengan negara-negara tersebut berdasarkan kepentingan
dan kesan ke atas mereka.
Tadi
anda masih ingat tetapi kenapa kini anda lupa?
Sering buat imbasan. Kajian menunjukkan bahawa
sebagai manusia normal anda akan lupa 80% apa yang telah dibaca hanya dalam
masa 24 jam. Oleh itu anda perlu merancang satu
strategi agar anda mampu mengatasi kelemahan ini.
Pastikan setiap apa yang anda baca telah
diringkaskan. Jadikan fakta seringkas mungkin dengan syarat apabila anda
melihat fakta tersebut anda mampu menceritakan semula apa yang mahu disampaikan
olehnya. Ada ketikanya fakta yang
panjang sekalipun mampu anda ringkaskan
menjadi dua atau tiga patah perkataan.
Selepas 24 jam, cuba lihat nota ringkas anda ini. Cuba ceritakan semula
apa yang anda fahami. Sekiranya anda mampu menceritakannya, bermakna anda sudah
mampu memanggil semula maklumat
tersebut. Sekiranya tidak, semak semula
sekali imbas teks asal. Berikan masa menjawab soalan-soalan berkaitan dengannya
bagi mengukuhkan lagi ingatan anda.
Semak semula apa yang dibaca dari semasa ke
semasa. Dengan cara ini anda
tidak perlu bersusah payah membaca teks asal kembali sewaktu hampir dengan
peperiksaan.
Anda
suka belajar disaat-saat akhir.
Ramai pelajar yang berpendapat lebih baik
belajar disaat-saat akhir, sebab kalau belajar awal pun nanti lupa juga.
Pendapat di atas adalah tidak benar. Anda perlu belajar seawal mungkin bagi
mengenal pasti kelemahan dalam sesuatu bab. Dengan belajar awal juga anda punya banyak masa untuk
bertanya pada guru dan rakan-rakan. Salah satu rahsia belajar ialah kekerapan.
Lagi kerap sesuatu bahan itu diulangbaca maka lagi besar potensi untuk anda memahami dan mengingatinya. Oleh
itu, mulakan langkah anda sekarang. Mulakan sedikit dahulu. Mulakan dengan yang
mudah-mudah dahulu dan apabila minat dan semangat mula berputik, barulah
lakukan dengan lebih bersungguh-sungguh.
BELAJAR
UNTUK PEPERIKSAAN
Ramai pelajar yang rajin belajar tetapi
tidak memperolehi keputusan yang setimpal dengan usaha mereka. Keadaan ini berlaku disebabkan mereka tidak
belajar dengan pendekatan untuk cemerlang dalam peperiksaan. Mereka tidak
merancang jadual belajar dan masa mereka
dengan betul. Artikel ini akan
membincangkan apa yang perlu anda lakukan mulai sekarang hinggalah ke
dewan peperiksaan bagi memastikan anda lakuka
yang terbaik.
Bersedia
untuk belajar
Peperiksaan semakin hampir. Anda perlu
melakukan persediaan bagi memastikan anda mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat
yang lenih tinggi sama ada di kolej ataupun universiti.
Sekiranya anda memang telah belajar dari
awal, pastinya tidak banyak yang perlu dirisaukan. Tetapi bagaimana pula
sekiranya anda baru mahu bersungguh-sungguh mengulangkaji. Lebih-lebih lagi
sekiranya anda bakal menduduki SPM. Kepada pelajar SPM saya nasihatkan agar
memberikan tumpuan kepada matapelajaran penting. Iaitu matapelajaran yang
membawa anda ke menara gading. Matapelajaran ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa
Inggeris, Matematik dan dua matapelajaran elektif (Fizik, Kimia, Biologi,
Prinsip Akaun, Ekonomi, Sains Tambahan, Matematik Tambahan, Kejuruteraan).
Sekiranya anda mendapat markah yang baik dalam kelompok mata pelajaran ini maka
peluang anda untuk ke universiti adalah cerah.
Namun begitu, sekiranya anda mampu,
hendaklah anda dapatkan markah yang
terbaik bagi semua mata pelajaran. Sebab
persaingan ke universiti kini semakin sengit. Mereka yang berjaya biasanya
memiliki pencapaian yang baik dalam semua mata pelajaran.
Buatkan
jadual belajar untuk peperiksaan
Jangan panik. Itu adalah pesan saya yang paling utama.
Walaupun anda rasakan banyak yang perlu difahami dan diingati, jangan
sekali-kali anda panik. Sekiranya anda panik, anda akan mengundang lebih banyak
masalah berbanding penyelesaian. Tidak ada masalah tanya penyelesaian.
Mula menyemak semua buku-buku yang ada
termasuk nota sekolah, buku teks, buku rujukan, soalan-soalan ramalan dan
soalan-soalan tahun lepas. Pastikan semuanya lengkap dan dalam keadaan baik.
Langkah pertama kenal pasti bab-bab yang
susah dan belum anda kuasai untuk semua mata pelajaran. Senaraikan bab-bab ini. Senaraikan juga
bab-bab yang telah anda kuasai dengan baik.
Langkah kedua buatkan analisa
soalan-soalan sejak 5 tahun yang lepas. Lihat bab-bab yang sering keluar soalan
darinya. Bab-bab ini merupakan bab-bab
penting yang tidak boleh tidak mesti anda kuasai dengan baik.
Buatkan jadual perancangan belajar anda.
Agihkan tajuk-tajuk dari sekarang hinggalah seminggu sebelum peperiksaan. Jangan diganggu minggu terakhir sebelum
peperiksaan sebab minggu terakhir ini
adalah untuk anda lakukan semakan terakhir nanti. Mana-mana bab yang penting, mulakan
ulangkajinya dahulu. Lagi awal anda mengulangkaji bab-bab ini lagi cepat anda
mengenalpasti dan seterusnya mengatasi setiap masalah. Sekiranya anda terpaksa menghabiskan 4 bab
seminggu maka habiskanlah. Anda mungkin terpaksa belajar 5 - 8 jam sehari untuk
mengulangkaji semua matapelajaran. Oleh itu anda perlu berkorban demi masa
depan. Anda mungkin belajar 1 jam di
waktu pagi, 2 jam pada tengahari, 1 jam diwaktu petang dan 3 jam diwaktu malam.
Ini menjadikan masa belajar anda 7 jam sehari.
Mengingati
Tajuk
Ramai pelajar tidak menyedari hakikat
penting ini. Kalau anda mampu mengingati apa tajuk-tajuk yang terkandung dalam
sesuatu matapelajaran maka anda
mempunyai gambaran yang jelas tentang apa yang anda pelajari.
Buatkan
Nota
Anda hanya perlu mempelajari sekali sahaja
setiap tajuk. Pastikan dengan usaha yang sekali ini anda mampu memahaminya.
Ramai pelajar yang mengulang baca sesuatu tajuk beberapa kali dan kemudiannya
lupa. Cara belajar begini bukan sahaja
menjemukan malah merugikan masa anda,
sedangkan peperiksaan semakin hampir.
Setelah anda memahami apa yang dibaca,
buatkanlah nota-nota ringkas. Yang
terbaik ialah anda ringkaskannya mengikut apa yang anda fahami. Bandingkan nota
anda dengan teks asal bagi memastikan fahaman anda betul dan tidak ada fakta
penting yang tertinggal.
Ringkaskan setiap fakta menjadi lebih
pendek bagi memudahkan anda mengingatinya. Kenalpasti kata kunci dalam setiap
fakta. Buatkan senarai kata kunci dan hafal. Lakarkan peta minda atau peta
konsep berdasarkan tajuk-tajuk dan kata kunci yang ada. Pastikan apabila anda
mengingati kata kunci, maka anda mampu mengingati keseluruhan fakta yang
berkaitan dengannya.
Latih
diri anda untuk peperiksaan
Anda perlu melatih diri anda untuk
peperiksaan. Tanpa latihan anda tidak mungkin dapat memberikan hasil yang
terbaik. Minda anda juga seperti
otot-otot fizikal anda yang lain. Ia perlu dilatih secara intensif bagi
mencapai sesuatu hajat. Mereka yang mahu cemerlang dalam 'bowling' perlu
melakukan latihan berterusan bagi meningkatkan kemahiran ber'bowling'. Begitu
juga dengan peperiksaan. Anda perlu melatih diri anda bagi tujuan cemerlang
dalam peperiksaan.
Syarat-syarat latihan peperiksaan ialah:
1. Latih mengeluarkan maklumat dengan banyak, cepat dan tepat.
2. Latih dalam tempoh masa yang tertentu.
3. Anggapkan setiap latihan seperti peperiksaan sebenar.
4. Latih menjawab mengikut strategi menjawab soalan yang berkesan.
Latih
mengeluarkan maklumat
Maklumat yang dibaca mestilah mampu
dikeluarkan semula. Oleh itu anda perlu sentiasa melatih diri anda untuk
mengeluarkan maklumat yang telah dipelajari. Perbanyakkan latihan-latihan
seperti:
Menjawab soalan-soalan;
Menceritakan semula apa yang telah
dipelajari;
Melakarkan kembali dalam bentuk peta
konsep / minda;
Mengadakan perbincangan dengan rakan;
Menyediakan kad imbasan kecil.
Menggambarcarakan apa yang telah dipelajari.
Sekiranya anda pelajar SPM atau STPM, cuba
hasilkan model jawapan soalan esei berdasarkan soalan-soalan yang ada. Cuba pecahkan fakta-fakta penting dalam
bentuk peta minda/konsep. Ini memudahkan
anda mengingati isi-isinya dalam peperiksaan sebenar kelak.
Hadkan
masa menjawab
Pastikan anda menjawab dalam had masa yang
ditetapkan. Peperiksaan bukan sahaja memerlukan anda mengetahui banyak fakta,
tetapi anda perlu mengeluarkan fakta-fakta yang berkaitan dalam masa yang telah
ditetapkan. Oleh itu anda perlu pantas dan kepantasan hanya boleh dibina
melalui latihan yang berterusan.
Oleh itu anda perlu kerap menjalankan
latihan ujian. Iaitu menjawab soalan-soalan dalam had masa seperti dalam
peperiksaan.
Anggap
seperti peperiksaan sebenar
Pastikan anda bebas dari gangguan, tidak
melengahkan masa, tumpuan yang tinggi dan rasakan seolah-olah tekanan peperiksaan yang sebenar. Elakkan
dari meniru sepanjang menjalani latihan ujian. Gunakan strategi menjawab soalan
(lihat di bawah). Ingat masa berjalan, oleh itu jangan sekali-kali biarkan
fikiran anda melayang. Sekiranya soalan itu susah, maka berikanlah jawapan yang
terbaik. Anda perlu belajar mengenali gerak hati anda sebab anda memerlukannya
dalam peperiksaan yang sebenar nanti.
Strategi
menjawab soalan
Untuk mendapatkan markah yang tinggi dan
mengelak dari berlakunya kecuaian, anda memerlukan strategi menjawab soalan
yang berkesan. Langkah-langkah berikut dapat membantu:
1. Baca arahan terlebih dahulu.
2. Baca arahan terlebih dahulu.
3. Kenal pasti dan garis kata kunci kepada soalan.
4. Jawab soalan mengikut turutan berikut:
Jawab soalan BONUS - Iaitu soalan yang
anda pasti jawapannya betul. Ia mungkin soalan yang telah anda ramal, atau yang
pernah anda latih sebelumnya.
Jawab soalan yang senang - Iaitu soalan yang mampu anda jawab hanya
dengan satu kali cubaan.
Jawab soalan-soalan yang susah - iaitu
soalan yang memerlukan masa yang panjang
atau soalan yang anda memang tidak tahu jawapannya.
Semak - Pastikan semua soalan
dijawab; Untuk soalan objektif, pastikan tandanya betul.
Ulang jawab - Kalau masih ada masa, ulang jawab soalan
bonus dan senang. Ingat! soalan inilah
yang anda pasti lakukan kecuaian oleh itu semak dengan tujuan mencari kesilapan
tersebut. Bukannya menyemak dengan tujuan berpuashati dengan jawapan. Langkah
terakhir barulah ulang jawab soalan-soalan susah. Itu pun sekiranya masa masih mengizinkan.
Mencari
sebab (post-mortem)
Anda perlu menkaji kelemahan diri anda
setiap kali selesai menjawab soalan-soalan. Setelah anda selesai membuat
latiha ujian. Semak setiap jawapan yang dibuat. Sekiranya
jawapan anda salah maka lakukan 'post-mortem', iaitu proses mencari sebab.
Setiap kesilapan ada sebab-sebabnya dan ini merupakan masalah utama yang perlu anda atasi. Antara
sebab-sebab kesalahan berlaku ialah:
Tidak tahu (tidak baca) - Ini bermakna
persediaan diri anda kurang. Maka berikan masa membaca tajuk-tajuk tersebut.
Tidak faham - Anda baca tetapi tidak
faham.Tanyakan padaguru atau rakan.
Lupa - Ini disebabkan anda kurang
mengulangi apa yang telah dipelajari.
Cuai - Pastikan anda mengikuti
langkah-langkah dalam Strategi Menjawab Soalan di atas.
Keliru - Tanyakan pada guru tentang bentuk
soalan yang mengelirukan anda. Minta
penjelasan dari guru sebelum hari peperiksaan agar kesilapan yang sama tidak
diulangi.
Jangan
buang masa
Dalam suasana peperiksaan semakin hampir
anda perlu gunakan setiap masa yang terluang untuk mengulangkaji. Sekirannya masa yang terluang tidak sesuai untuk anda membaca
dan menghafal, maka gunakan masa tersebut untuk anda melatih mengeluarkan maklumat.
Ceritakan apa yang telah anda pelajari kepada diri anda sendiri.
Lakarkan apa yang anda ketahui pada sehelai kertas. Aktiviti sebegini mengukuhkan lagi ingatan
anda dan memudahkan pengaliran keluar maklumat ketika dalam peperiksaan kelak.
Bagi mengelakkan rasa jemu belajar,
pelbagaikan aktiviti dalam satu-satu sessi mengulangkaji.